
Kasut kuning,Admiral,disarung.Tali diperkemas tentunya.Kegemaranku? Boleh la dikatakan begitu.Berdasarkan bentuk muka bumi di sini yang berpasir halus,berdebu dan pastinya kerana rutin harian ku sebagai pelajar,menyebabkan aku pastinya banyak berjalan,maka kasut sukan ini benar-benar menjadi pilihanku.Boleh kata kemana sahaja langkahku,pasti dengannya.Ke kuliah,masjid,dan kadang-kala menjadi bahan tawa rakan-rakan apabila kukenakan ia dengan jubah bergaya ke majlis perkahwinan.Aha.Senyumku sumbing.Aku harus keluar.Oh,tidak.Wajib.Masakan tidak,asyik terperap di rumah,berhadapan nota-nota dan buku-buku,tentunya membuat akalku letih.Pintu dikunci.Tangga dituruni.
Teriknya matahari membuat aku basah berjujut peluh.Pandangan ku redup. Tentunya. Terima kasih kepada cermin mata yang bersifat “photocromic”,tidaklah meraba-raba langkahku kesilauan.Kanan.Kiri.Kepalaku tertoleh-toleh.Melihat-lihat andai ada bas yang boleh kunaiki.Meski sudah hampir 7 buah trempko melintas,tetap bukan pilihanku.Hanya mampu memuatkan penumpang dengan kapasiti maksimum 13 orang,tidak cukup untuk aku.Padaku,tiada erti kehidupan yang dicari.Ragam yang terbatas.Penantian berterusan.Berteduh di balik redup pokok di Bawabat Tsalatsah,akhirnya bas merah,80 palang muncul.Cepat aku melangkah.Terkenal dengan sifatnya yang tidak berhenti,sekadar memperlahan kelajuan,membuatkan aku dan penumpang lain terpaksa berlari-lari anak dan melompat untuk menaikinya.Aku memang sudah pakar dalam urusan melompat bas ini.Lari-lari,dan lompat dengan kaki kiri didahulukan. Haha.Ingatan terimbau pula pada minggu-minggu pertama aku tiba di bumi Mesir ini. Pernah aku terjatuh dari bas,gara-gara salah teknik lompatan.Tapi aku beruntung,kerna disambut seorang lelaki arab dari bawah.Senyum sendiri mengenangnya,serupa filem Hindustan lagaknya.Aku sebagai Ashwarya Rai.dan lelaki arab itu Shah Rukh Khan.Hah,imaginasi manusia yang sentiasa pelbagai,cantas akalku.
Melihat suasana bas yang padat,aku gembira.Mungkin tidak pada orang lain.Kulihat ada yang termenung panjang ditepi tingkap.Ada yang mendodoi anak yang meragam kepanasan.Ada pula yang ralit dengan buku,fenomena biasa ketika imtihan menghampiri.Dan yang tak pernah gagal untuk mencuri perhatianku,seorang tua,berbaju lusuh,membaca Al-Quran sambil butiran tasbih bergerak perlahan. Munajat seorang hamba kepada Tuhannya.Antara perkara biasa yang dilihat.Rata-rata manusia disini pasti bersama dengan Quran.Paling cikai,boleh ku kata,tasbih bergantungan tangan-tangan manusia.Satu fenomena yang benar-benar aku harap dapat dilihat di Malaysia,usai tamat pengajianku nanti.Bas terhenti mengejut.Menamatkan anganku.Hah.Ada apa disitu? Anak muda,khususnya lelaki turun beramai-ramai dari bas.Pandangan ditoleh keluar.Innalillah.Kemalangan. Aku turut turun.Andai ada yang boleh kuhulur bantuan barangkali.Orang ramai mula mengalihkan mangsa ketepi jalan.Darah.Merah.Seriuskah? Aku tertinjau-tinjau.Oh,tiada hospital atau taisir berdekatan kawasan ini.Jalan sesak.Pasti menyukarkan mangsa untuk mendapat rawatan segera.Teringat pula,ada kes dimana mangsa kemalangan meninggal kerana lambat mendapat rawatan.
Aku yang berseluar askar,berbaju T-shirt belang dan berselendang hijau,membimbit buku berbahasa Inggeris,menyebabkan orang-orang sekeliling menganggapku pelajar jurusan perubatan.Ah.Tidak.Sebelum sempat memberi penjelasan,aku ditolak merapati mangsa.Tidak.Tidak.Tolonglah,aku jurusan agama sahaja.Lihat,buku ni pun judulnya “Armageddon”.Penjelasan yang hanya mampu ditelan tanpa terluah.Ditepi mangsa,kelihatan seorang lelaki,lingkungan usia 40-an,sedang memeriksa nadi,telahku.Dia memintaku untuk membantunya.Aku yang terpaksa,sekadar mengangguk kosong.Ingatan kepada pelajaran biologi yang pernah dipelajari ibarat flash-card laju,menerjah memori.Meski keputusan SPM Biologi aku A,jujur itu hanya teori.Tambah pula,sudah hampair 4 tahun aku tinggalkan.Nak buat apa ni?Lelaki itu telahku seorang doctor.Mukanya cemas.Tuturnya berbahasa Inggeris,mungkin kerana wajahku Melayu,terkanya pasti aku tidak pandai bertutur arab.Dia tak rasa denyut nadi mangsa.Dalam situasi ni,aku sedar,aku langsung tidak membantu.Ah.Bentak ku.Sudahlah,buang takut itu.Aku harus membantu.Bukankah ini yang kau cari ketika niatmu untuk keluar sebentar tadi?Allah dah bagi,kenapa kau lari? Aku terpukul dengan hakikat.Mula membantu.Nadi dicari.Jantung tak berdetak.CPR perlu dilakukan.Jujur,kali yang pertama.Bismillah.

Saat dirasakan lambat berlalu.Polis trafik mula tiba meredakan kekalutan suasana.Meski membantu,tapi tak banyak.Tangan mula keletihan,melakukan CPR tanpa henti.Akhirnya,doctor berjaya mengesan denyut nadi.Walau lemah.CPR dihentikan.Darah terus mengalir dari kaki dan kepala.Pucat wajahnya.Susuk orang ramai yang memerhati kelihatan sibuk dengan telefon bimbitnya,meminta bantuan ambulans,teka akalku.Doctor itu cuba menghentikan pendarahan di kepala.Sementara aku?Mujur.Memang tabiatku untuk membawa kit-first-aid di dalam beg.Pantas dikeluarkan.Luka kaki dicuci.Ditekap dengan kapas.Ditukar,ditekap lagi dan akhirnya darah berhenti mengalir.Syukur.Luka dibalut kemas.Akhirnya,dari jauh kedengaran siren ambulans.Lega.Mangsa dipindah masuk dan doctor itu menuruti.Aku.Masih terduduk di situ.Tidak percaya dengan situasi yang baru sahaja berlaku.Bukan setakat di depan mata.Bahkan aku sebahagiannya.Tangan masih berlumuran darah.Batu jalanan merah.Orang ramai mula beransur.Terasa bahu ditepuk.Seorang mama arab memandangku.Manis senyumnya. Ah.Air mata akhirnya tumpah.Dia menghulurku sebotol air.Tangan dibersihkan.Darah di batuan jalanan disiram.Moga tiada terkesan dengan kemalangan tadi.
Bas ditahan.Perjalanan diteruskan.Sepanjang perjalanan,aku sekadar termenung kosong.Tidak percaya.Takut.Sebak.Perasaan bercampur baur.Setiap wajah penumpang dilihat.Akal cuba meneka.Hakikat kehidupan yang baru aku sedar.Yang melihat,hanya mata.Zahir.Tanpa mengetahui,setiap insan ini punya cerita sendiri.Seperti aku.Di luar,aku lihat dia tersenyum namun hakikat batinnya hanya Tuhan mengetahui.Tidak sampai 5 kilometer bas berjalan,aku mengambil keputusan untuk turun.Meneruskan baki perjalanan dengan berjalan kaki.Aku perlu lihat lebih banyak kehidupan.Pelbagai memori kembali menjengah.Teringat ketika usiaku 7 tahun,pernah aku meminta ayah untuk membuat susu di dalam botol.Tapi ayah menolak.Aku merajuk.Hampir seminggu aku tak bercakap dengan ayah.Ayah cuba memujuk,tapi tiada ku endah.Ego.Ah,bodohnya aku.Tiada aku mengerti tika itu mungkin ayah penat baru pulang kerja.Lamunan terganggu.Beberapa wanita,pengemis jalanan,menarik-narik baju ku,meminta sedekah.Hasil apabila jurang kaya dan miskin semakin jauh.Yang kaya terus kaya,dan yang miskin kian papa.Boleh saja untuk aku marah.Tapi mengenangkan,setiap orang punya cerita.Aku mengalah.Poket diseluk.Not le10 dikeluarkan.Berlari-lari mereka gembira.Aku turut tersenyum melihat keletah mereka.Allah pemberi rezeki yang terbaik.PerangkaanNya tidak pernah salah.

Sampai di destinasi.Kelihatan,Grey.Seekor kucing berwarna kelabu yang selalu duduk di bawah pokok,hadapan pintu rumah.Setia.Temanku untuk berbicara,bila aku bosan dengan manusia.Tidak pernah gagal untuk membuatku terhibur dengan geselan manjanya.Tapi,tidak hari ini.Matanya tidak seperti kebiasaan.Tanah disapu dan aku duduk ditepi Grey.Kepalanya diusap.Bibir menyoal, “ Grey,kau juga punya ceritakah?”
“Practical is always,always harder than knowledge itself.Knowledge is wisdom.Attitude therefore,is power” –Faizin Shamsuddin-
No comments:
Post a Comment